Thursday, December 4, 2008

Pertemuan dengan Pakcik Saip bin Malul


Mungkin pertemuan kami itu tidak terduga. Kebetulan kami diajak minum oleh saudara Charles Masuil, mantan Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Nosoob Baru Penampang. Saya diperkenalkan oleh Charles kepada pakcik ini, Saip bin Malul, yang juga Pengerusi RT Kampung Contoh Petagas.
Kami bercerita mengenai Rukun Tetangga kerana kebetulan saya pernah aktif sebagai Ahli Jawatankuasa RT Seroja Likas beberapa tahun yang lampau.
Saya menanyakan nombor telefonnya kerana mana tahu di masa depan boleh menghubunginya jika ada keperluan. Dia minta kad nama tetapi saya tidak membawanya. Saya hanya memberikannya nama dan nombor telefon.
"Hubungilah kawan kita reporter ini , kalau ada berita' kata Charles seraya mengeluarkan kad nama saya yang masih disimpannya dan menunjukkannya kepada pakcik Saip.
"Oh, anak Hj Shaiddin yang di Taun Gusi tu?" kalau begitu kita saudara," katanya.
Saya terkejut juga kerana rupanya kami mempunyai kaitan keluarga. Katanya, ibunya bernama Jemah itu bersaudara dengan nenek saya. Jemah binte Sadong. Sadong bin Sabang. Sadong sepupu dengan atuk saya Haji Mohd.Hashim @ Markasham bin Datu Mialah. Sementara ibu Jemah itu bernama Mukan. Mukan pula adik beradik dengan Satuh, Duakis, Tiabah, Benteli, sakis,Mundui.
Jadi, Jemah adalah sepupu kepada nenek perempuan saya, Sablah binte Satuh. Antara saudara Jemah ialah Ila, Baka, Lamsah, Anda dan Ambal.
Ini bermakna bapa saya, Haji Shaiddin adalah dua pupu dengan pakcik Saip yang juga dikenali sebagai Ma' Mariam ini.
Jika begitu, pakcik Saip yang menetap di Kampung Contoh Petagas ini adalah bapa saudara saya.
Syukur Alhamdullah kerana kami telah dipertemukan meskipun pakcik ini sudah lama menetap di Petagas.

No comments: