Sunday, October 31, 2010

Catatan tentang bapa

Saya sebenarnya agak seronok mendengar cerita Mabul disuruh baca berzanji. Sebelum ini dia tak pernah baca berzanji di khalayak ramai, tetapi ketika diminta imam baca berzanji, diapun terpaksalah baca berzanji.Mujurlah ketika kecil dahulu, arwah Bapa selalu menasihatkan kami agar belajar semua perkara jika mahu menjadi lelaki.



Baginya lelaki mestilah serba boleh. Kalau diminta baca berzanji boleh, kalau diminta bersilat boleh, kalau diminta berpantun boleh dan pokoknya belajar semua bidang kehidupan.Cuma beliau memperingatkan kami agar jangan menunjuk-nunjuk.



Ilmu, katanya, harus diamalkan dengan kerendahan hati, dan hanya dengan cara itulah kita mendapat kemuliaan dan keredhaanNya.



Kini sudah seratus hari bapa kembali ke rahmatNya.



Saya teringat betapa beliau sebenarnya seorang luar biasa.Di kalangan kawan-kawannya beliau dikenali sebagai seorang pencerita yang penuh jenaka. Seorang penglipur lara. Di kalangan keluarganya, beliau seorang yang amat dihormati dan disegani.



Beliau seorang yang berilmu dan memang seorang yang serba boleh.Walaupun banyak dikenali sebagai seorang budayawan, kerana kemampuannya menguasai budaya dengan segala aspeknya, arwah bapa juga seorang ahli bahasa, yang selalu menjadi rujukan.



Beliau menguasai bahasa Bajau sampai ke akarnya. Malah beliau menguasai bahasa Dusun, dengan baik sampai boleh mendongeng dalam bahasa itu. Selain itu, beliau juga mampu bertutur bahasa Iranun, dan hampir lima bahasa lain seperti Inggeris, Hailam, Gurka, Jepun dan bahasa tempatan yang lain.Jika diminta berpantun atau dalam budaya masyarakat Kota Belud dipanggil isun-isun, dia boleh berpantun, berbalas pantun dengan tiga atau empat orang sekaligus, dengan amat pantas dan spontan.Satu ketika bersama arwah Haji Rashkin Saum, mereka pernah menjadi Naib Juara Berbalas Pantun yang diadakan di Sabah College.



Saya pernah menyaksikannya berpantun isun-isun sampai pagi.Jika diminta berkalang sambil berunsai, beliau juga boleh berkalang dan berunsai. Beliau menguasai bahasa klasik dengan baiknya.Arwah bapa menghasilkan juga banyak karangan.



Beliau pengarang syair, pernah menulis perjuangan syarif Osman, perjuangan Tun Mustapha dalam bentuk syair, beliau pernah menulis kisah percintaannya dengan ibu saya, dalam bentuk syair dan inilah satu-satunya yang masih tersimpan, beliau menulis hikayat dan sebagainya.



Ilmu, kata bapa saya mesti dikuasai semuanya. Beliau menekankan agar kami belajar ilmu dunia akhirat.



Jika disuruh membaca khutbah, bapa saya pernah menjadi khatib di kampung kami. Jika diminta membaca doa selamat, beliau oleh membaca doa, jika diminta berzanji, beliau boleh membaca berzanji-apatahlah lagi atuk saya dulu dikenali di kampung Linau sebagai orang yang suaranya merdu ketika berzanji.Arwah bapa saya juga menguasai pelbagai jenis silat, dan di kalangan rakan-rakannya di sebut sebagai `guru' kerana mempunyai pelbagai pengetahuan.



Beliau juga dengan mudah mampu berbicara dengan siapa saja.Seorang yang mudah bergaul, sama ada kanak-kanak, orang muda, orang agama, orang budaya, orang terpelajar, dan macam macam lagi orang. Saya fikir inilah yang menyebabkan beliau sangat dihormati dan disegani, bukan kerana kejaguhannya tetapi kerana ilmu yang ada didadanya,



Masing-masing orang punya kelebihan dan keistimewaan, katanya. Kita haruslah menghormati dan menghargai semua. Kita jangan sombong dan angkuh dengan ilmu yang kita ada, kerana pastilah ada yang pandai daripada kita. Amalkan ilmu dengan kerendahan hati, jangan menunjuk-nunjuk, katanya. Itu akan menyebabkan ilmu tidak berkat.



Dengan caranya sendiri, beliau selalu menasihati dan menggalakkan kami belajar ilmu dunia akhirat. Proses belajar tak pernah berhenti, hingga ke liang lahad, katanya.Kini beliau sudah tiada, kami benar-benar terasa kehilangannya. Semoga segala amal kebaikannya diterima Allah dan dosanya diampuni. Semoga beliau ditempatkan di sisi orang-orang yang diberkati. Alfatihah.

2 comments:

Nasser S. Sharief said...
This comment has been removed by the author.
Nasser S. Sharief said...

A very fitting tribute to a father. Keep up the good work!!